Monday, 30 May 2016

TIPS MENJALANI LATIHAN INDUSTRI

Pengalaman semasa menjalani latihan industri merupakan mengalaman yang paling penting sebagai persediaan untuk menuju ke alam pekerjaan. Dunia pekerjaan adalah berbeza dengan dunia dalam kampus, gunakan tips di bawah untuk membantu diri anda untuk mengambil seberapa banyak pengalaman yang boleh semasa menjalani latihan industri kelak.
·         Jelaskan apa yang anda harapkan daripada latihan industri ini. Dengan cara ini, anda dan majikan anda dapat mencapai kata persetujuan mengenai tugas serta tanggungjawab yang bersesuaian serta menepati kriteria anda sebagai pelatih.
·         Ambilah kesempatan untuk bertanya seberapa banyak soalan pada awal latihan. Ini adalah cara yang paling cepat untuk anda mengetahui carta aliran tugas yang berlaku dalam sesebuah badan organisasi atau syarikat.
·         Kerap berjumpa dengan penyelia anda untuk memastikan semuanya berjalan lancar seperti yang diharapkan oleh kedua-dua pihak. Ini merupakan cara yang baik untuk mengetahui prestasi anda.
·         Tanggapan pertama atau impresi pertama adalah sangat penting. Oleh itu, adalah sangat penting untuk anda mengekalkan cara anda berpakaian, bercakap, menulis dan melakukan semua tugasan seperti seorang profesional. Sentiasa memulakan sesuatu dengan salaman, kekalkan ‘eye contact’, senyum, ramah dan yakin pada diri.
·         Jadilah seorang pemerhati yang baik dan sentiasa bertanyakan soalan mengenai tataterbit yang sepatutnya di tempat kerja. Ini adalah kerana organisasi yang berlainan mempunyai harapan yang berbeza terhadap pekerjanya dan adalah sangat penting untuk anda mengetahui seterusnya mengamalkan budaya korporat di tempat kerja. Ini termasuklah isu cara pemakaian yang sesuai, tatasusila ketika berhadapan dengan pelanggan, membuat panggilan peribadi dan memilih tempat parkir kereta yang sesuai.
·         Fokus kepada kemahiran berkomunikasi sama ada secara bertulis atau pun secara lisan. Baca berulang kali tugasan secara bertulis yang telah disiapkan untuk memastikan tiada kesalahan ejaan mahupun tanda baca. Apabila ingin berkomunikasi dengan rakan sekerja, gunakan bahasa yang sopan.
·         Datang ke tempat kerja mengikut waktu yang telah ditetapkan atau seperti yang diperlukan. Buatlah satu panggilan sekiranya anda sakit ataupun terpaksa datang lewat ke tempat kerja. Pilih hari untuk mengambil cuti; anda tidak seharusnya mengambil cuti pada hari-hari yang penting.
·         Wujudkan hubungan yang baik dengan rakan sekerja. Bersikap ramah, sopan, bersedia untuk membantu dan peka. Adalah baik untuk bertegur sapa dengan rakan sekerja untuk mengenali mereka, namun elakkan mengumpat dan membuat aduan. Berikan kerjasama sepenuhnya. Terima segala tugasan yang diberikan tanpa sebarang rungutan, minta tugasan lebih sekiranya tugas yang diberikan itu telah diselesaikan. Sentiasa mendengar arahan dan meminta pencerahan sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan. Belajar untuk bekerja dalam kumpulan, amalkan sikap saling menghormati pandangan daripada ahli-ahli yang lain. 
·         Apabila tamat latihan industri, pastikan anda meminta surat rekomen daripada penyelia anda. Sentiasa berhubung dengan penyelia anda agar anda boleh meminta bantuannya untuk dijadikan sebagai calon rujukan anda pada masa akan datang.
Semoga tips ini bermanfaat untuk rakan-rakan seperjuangan yang bakal menjalani latihan industri pada masa akan datang. Semoga berjaya!


JACINTA ZITA VALENTINE
BC13160217

   

No comments:

Post a Comment