Sunday, 13 March 2016

Budaya Berpantun

PANTUN NASIHAT

Naik kereta membawa hati,
Luka lama sentiasa dianyan,
Meskipun kata tiada bererti,
   Dendam lama jangan dilayan.
                      
Makan angin di negeri Perlis,
 Singgah juga di Kuala Berang,
Jika bercakap dalam majlis,
Jangan asyik mengumpat orang.

Berkokok ayam di batu kikir,
Tumbuh banyak pokok semalu,
Segala kerja perlu difikir,
Agar tidak mendapat malu.

Ramai-ramai bermain rebana,
Cahaya lilin kian malap,
Jika tersalah hidup merana,
Janganlah kita membuat silap.

Buah nangka digemari orang,
Rasanya enak tidak terperi,
Jangan suka menyalahkan orang,
Cermin muka lihat sendiri.

Muhamad Hafiz Bin Hamad
bc13110103

MAINAN BUDAK KAMPUNG! PART 1


14 MARCH 2016
1.58PM

BOLA!


Menjadi kegemaran si anak muda
Berpetang hingga ke senja
Bermain tak ingat masa
Lewat pulang petir mula menerpa

Bermain tak ingat dunia
Pulang mencari tenaga
Tudung saji sasaran utama
Tapi sayang makanan tiada




GULI



Dibawah terik mentari
Bermain si anak pertiwi
Yang hebat diangkat tinggi
Yang kalah menjadi kuli
Menang dapat puji
Kalah hilang guli



LAYANG-LAYANG


Pesta hujung minggu
Kertas dan plastik dikumpul bersama
Membentuk segi empat sama
Melilit benang didada
Mencantum ekor dibawah
Ditambah kiri dan kanan
Yang tinggi semakin bangga
Yang rendah semakin berusaha


MOHD SAFIEE BIN ELIAS
BC13110098 


Wednesday, 9 March 2016

Terapi Foto

Adakah anda tergolong dalam kumpulan manusia yang sukar memberi fokus terhadap suatu perkara? Jangan risau, hanya dengan meluangkan sedikit masa untuk membaca ruangan ini akan menyelesaikan masalah anda dengan mudah tanpa memerlukan modal yang banyak. 

Sebuah kajian saintis psikologi daripada Universiti Hiroshima di Jepun telah membuktikan bahawa hanya dengan menatap imej-imej yang comel termasuklah gambarajah anak anjing dan anak kucing mampu memberikan kesan yang ketara terhadap peningkatan tumpuan dan konsentrasi manusia.

Ini telah dikaji oleh Hiroshi Nittono yang telah mengetuai sebuah kumpulan yang menjalankan tiga buah eksperimen ke atas seramai 132 pelajar universiti di mana mereka menyimpulkan bahawa imej yang comel berupaya untuk melancarkan keupayaan konsentrasi serta ketelitian yang tinggi di kalangan pelajar. 

Kajian ini menunjukkan bahawa dengan menatap imej-imej yang comel mampu meningkatkan keupayaan manusia dalam melakukan tugasan yang memerlukan tingkah laku yang berjaga-jaga dengan mengecilkan keluasan tumpuan fokus seperti yang telah ditulis oleh Nittono dan rakan-rakan sekerjanya.

Pada kajian yang telah dilakukan sebelum ini juga telah menunjukkan bahawa manusia sememangnya bertindak balas terhadap sesuatu yang kelihatan comel - kepala besar, dahi yang luas menonjol, mata yang besar - dikenali sebagai skema bayi. Haiwan-haiwan yang masih kecil mempunyai karakter skema bayi dan ini menjelaskan mengapa kita melihat anak anjing dan anak kucing lebih comel daripada anjing dan kucing dewasa. 

Skema bayi ini boleh mengaktifkan sejumlah besar proses semula jadi dalam diri manusia termasuklah boleh tersenyum sendiri serta mampu merangsang tingkah laku yang positif, kajian juga menunjukkan bahawa imej-imej yang comel juga mampu memberi impak terhadap perhatian dan persepsi seseorang terhadap suatu perkara.  

Dalam eksperimen pertama yang dijalankan oleh kumpulan Nittono, sekumpulan pelajar kolej yang terdiri daripada 48 orang diminta untuk bermain dalam satu situasi seakan-akan seperti berada dalam situasi pembedahan. Mereka diminta untuk mengeluarkan bahagian tubuh manusia yang diperbuat daripada plastik yang kecil dengan menggunakan pinset tanpa tersentuh mana-mana permukaan lubang kecil si 'pesakit'. Selepas bermain dalam pusingan yang pertama, separuh daripada pelajar-pelajar itu diminta untuk melihat siri-siri imej yang terdiri daripada anak anjing dan juga anak kucing yang comel manakala selebihnya diminta untuk melihat imej-imej anjing dan kucing dewasa.  

Para pelajar yang melihat foto-foto anak-anak binatang yang comel menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara pada pusingan permainan yang kedua dengan kebolehan melakukan tugas dengan lebih perlahan dan lebih teliti selepas melihat foto-foto tersebut. Para pelajar yang melihat gambar haiwan yang lebih dewasa pula menunjukkan tiada perubahan pada prestasi mereka dan mereka menyiapkan tugas pada sejumlah masa yang sama pada kedua-dua pusingan. 

Dapatan kajian sebentar tadi menunjukkan dengan menatap imej yang comel mampu membuatkan para peserta untuk bertindak lebih bersahaja dan mampu melakukan tugasan dengan penggunaan masa dan penjagaan yang lebih baik. 

Kajian turut membuktikan bahawa imej yang comel mampu meningkatkan tumpuan pada detail-detail secara lebih spesifik. Dalam eksperimen ini, para pelajar diminta untuk mengenal pasti siri stimulus yang dimainkan dalam skrin dengan masa yang direkodkan. Setiap stimulus menggunakan kumpulan huruf yang lebih besar dan kumpulan huruf berlainan yang bersaiz lebih kecil. Sebagai contoh, mereka mungkin melihat kepada siri huruf-huruf F yang lebih kecil dalam sebuah kumpulan huruf H yang lebih besar.   

Setiap tugasan itu diselang-selikan dengan paparan imej yang terdiri daripada anak-anak haiwan, haiwan dewasa atau objek neutral. Selepas melihat imej yang comel, para pelajar ternyata lebih cepat dalam memproses maklumat yang terdiri daripada huruf-huruf kecil berbanding huruf-huruf yang lebih besar. 

Hasil kajian jelas menunjukkan imej-imej comel sangat membantu dalam mengalihkan perhatian kita kepada fokus yang lebih baik pada detail. 

Sebagai permulaan, lihatlah contoh-contoh gambar yang comel yang telah disertakan  di bawah. Semoga fokus dan konsentrasi para pembaca menjadi lebih baik selepas mengamalkan tips ini. Selamat mencuba!  







Nama Penulis: Jacinta Zita Valentine
No Matrik: BC13160217

Seteguh Hati

Jangan bersedih duhai insan kekasih-Nya. Sesungguhnya di setiap penderitaan mu ada pembelaan besar dariNya. Senyum dan lakarlah kehidupan bahagia di rumah kecilmu bersama putera puteri kebanggaanmu... Dari ku yang amat mengagumi kekentalan hati seorang ibu tunggal.


Air Mata membasahi pipi
Berteman malam sunyi sepi
Mengenang nasib ujian diri
Yang harus ditanggung dipikul
Membesarkan anak-anak kekasih hati

Cinta pertama agung di hati
Setia dihulur menduakan hadiah diberi
Hati terobek terguris dek pengkhianatan
Dari sebuah cinta yang suci

Hancur punah kepercayaan diberi
Menusuk di hati mengkelar jiwa
Berdarah batin menanah hati
Memuntahkan lahar benci kecewa
Dek segunung cinta seluas lautan kasih
yang tiada bertepi

Kaki suami letaknya syurga isteri
Meninggalkan cintanya tanpa rasa simpati
Mengejar hawa nafsu tiada pertimbangan diri
Asal kemahuan hati dapat dituruti
Menutup mata hati yang kelam
Menerobos diri ke lembah azab akhirat
yang janji-nya pasti !

Terumbang ambing kehilangan tempat bertaut
Perit payah sukar dikata
Zahir batin menjadi saksi
Kegetiran hidup seorang ibu tunggal

Perginya kekasih menyimbah kekuatan
Semarak membakar keazaman hidup
Memerah keringat mencedok rezeki
Demi anak-anak si jantung hati

Kesabaran mengalir menjadi pegangan
Terpasak utuh berakar iman
Manis tersenyum jiwa zahir batin
Yakin janji Allah Maha Memahami

Syurga darjat sedia menanti
Hadiah buat hamba dicintai
Tanda Allah sentiasa meraih
Suara hati hamba disayangi

Diilhamkan Tuhan kepada penulis - Faridah Bt Mohammad (BC13160221)