Sunday, 29 May 2016

RENCANA TENTANG CINTA

Gaya Cinta Wanita

Perasaan cinta memang tidak boleh lari daripada setiap makhluk yang berada di muka bumi ini. Semuanya memerlukan cinta tidak kiralah manusia, haiwan mahupun alam semulajadi. Bagi wanita, tanpa kehadiran cinta, hidup akan menjadi tidak bermakna, kosong dan tidak mempunyai arah tuju.

Apabila kita mulai membicarakan isu cinta, bermacam-macam ragam atau gaya seseorang wanita itu dapat dilihat. Ada yang boleh dijadikan teladan, ada juga yang boleh dijadikan iktibar. Oleh itu, sama-samalah kita melihat gaya cinta wanita yang boleh dilihat pada masa kini.     
            
Terdapat berbagai-bagai ragam atau gaya orang yang bercinta ini. Salah satu daripadanya ialah cinta yang hanya mengutamakan daya tarikan luaran atau fizikal iaitu cinta romantik. Ia juga boleh diklasifikasikan sebagai cinta pandang pertama. Gaya cinta jenis ini dicirikan oleh percampuran emosi, keasyikan, dorongan seksual yang kuat dan mereka yang menggayakan cinta ini cuma ingin menikmati kegemilangan dalam cintanya sahaja.
            
Cinta permainan pula boleh dikelaskan sebagai cinta yang tiada komitmen dan banyak berselindung. Wanita yang menggayakan cinta permainan ini tidak mahu menjalinkan hubungan yang serius kerana belum begitu yakin dengan kewibawaan lelaki tersebut. Motif lain pula adalah untuk membalas dendam kerana mempunyai sejarah silam yang berlaku dalam keluarga ataupun daripada pengalaman masa lalu.
            
Cinta kawan karib ialah perasaan cinta yang terhasil daripada hubungan yang erat dan mesra yang telah lama terjalin. Pasangan dalam kategori ini lebih menitikberatkan perkongsian aktiviti berbanding dengan emosi yang mendalam dalam hubungannya. Bagi wanita, lelaki pilihannya mungkin terdiri daripada rakan sejak di bangku sekolah ataupun rakan sepermainannya ketika zaman kanak-kanak dahulu.
            
Cinta “gila” ialah gaya cinta individu yang  menunjukkan rasa cinta mereka dengan cara yang keterlaluan. Mereka akan sentiasa memikirkan tentang pasangan, mahukan perhatian, kepastian dan ketulusan yang berpanjangan. Mereka yang memiliki cinta jenis ini juga akan mengawal dan mengongkong pasangan mereka dengan keterlaluan, selalu cemburu buta, sentiasa berasa bimbang dan takut kehilangan orang yang dicintai.  
            
Cinta logikal atau pragmatik ialah cinta yang lebih praktikal dan realistik. Perasaan cinta seperti ini hanya timbul setelah membuat perhitungan bahawa pasangan tersebut benar-benar dirasakan layak untuknya. Kematangan dan pengalamanlah yang mendorong wanita untuk mencari cinta yang realistik, tidak terburu-buru dan tidak menurut nafsu. Cinta sebegini biasanya dapat diteruskan sehingga ke alam perkahwinan.
            
Cinta pengorbanan pula dimiliki oleh seorang yang berhati mulia dan tidak mengharapkan balasan daripada orang yang dicintai serta sedia memaafkan kesilapan pasangannya. Mereka akan memberikan kasih sayang sepenuhnya, berusaha membahagiakan pasangan dan sanggup mengetepikan kepentingan sendiri demi kebahagiaan pasangan.
            
Cinta yang tidak matang pula dikuasai oleh perasaan dan tidak berdasarkan rasional. Segala tindak-tanduk mauhupun keputusan yang dibuat adalah hasil daripada perasaan yang dialami pada ketika itu dan selalunya akan disusuli dengan penyesalan.
            
Akhir kata, perlu diingatkan bahawa cinta sepatutnya mendatangkan bahagia kepada kedua-dua belah pihak kerana cinta tidak boleh dipaksa. Adakalanya, tanpa kekasih adalah lebih baik daripada mempunyai kekasih sekiranya hubungan yang dibina itu hanya mendatangkan lebih banyak penderitaan daripada kebahagiaan.

JACINTA ZITA VALENTINE
BC13160217      

No comments:

Post a Comment