Tuesday, 26 April 2016

SAKIT KEPALA DALAM KALANGAN KANAK-KANAK
Sakit kepala ialah rasa sakit di sebelah kiri, atau kedua-dua sisi, atau di bahagian hadapan (kening) kepala. Kebanyakan pening kepala pada kanak-kanak sembuh dengan sendirinya. walau bagaimanapun, ada kalanya sakit kepala menandakan kemungkinan terjadinya masalah kesihatan yang serius pada pesakit tersebut. Oleh itu, ibu bapa perlulah memahami gejala-gejala yang diperlihatkan daripada anak-anak mereka yang sering mengalami sakit kepala. Jika seseorang kanak-kanak itu masih kelihatan segar dan sihat ketika sedang mengalami serangan sakit kepala, maka kemungkinan besar dia tidak mengalami masalah kesihatan yang serius. Walau bagaimanapun sekiranya kanak-kanak itu sering mengalami sakit kepala yang berulang-ulang disertai dengan penurunan berat badan, kekurangan selera makan, kelihatan lemah, memperlihatkan pergerakan-pergerakan yang canggung atau cemerkap (clumsy), maka berkemungkinan kanak-kanak itu mengalami masalah kesihatan yang memerlukan rawatan doktor.   

Pelbagai faktor psikologi sering dikaitkan sebagai salah satu punca sakit kepala. Seseorang kanak-kanak mungkin mengadu mengalami sakit kepala berpunca daripada rasa takut untuk pergi ke sekolah kerana kerja sekolah yang diberikan oleh guru belum selesai, kawan-kawan sering mempersendakan atau mengejek, atau dia telah membuat sesuatu kesalahan yang menyebabkan orang lain marah. Sakit kepala yang dialami berpunca daripada masalah di atas memang dirasai oleh si anak. Rasa sakit kepala yang disebabkan oleh kerisauan atau keresahan boleh dikurangkan dengan parasetamol dengan dos yang disarankan pada label botol ubat. Setelah itu biarkan anak anda baring di katik dalam keadaan bilik yang gelap untuk beberapa jam.

Sakit kepala juga boleh terjadi disebabkan oleh migrain. Migran ialah istilah perubatan yang digunakan untuk sakit kepala yang teruk serta berulang-ulang. Kebanyakan kita menyangka hanya orang dewasa sahaja yang mengalami migrain tetapi nyata anggapan inilah yang tidak benar kerana migrain merupakan masalah yang boleh dihadapi oleh kanak-kanak. Antara gejala yang sering dialami oleh kanak-kanak ketika migrain ialah seperti sakit kepala, muntah, sakit perut, demam, dan gangguan penglihatan. Sakit kepala biasanya terasa di sebelah kanan atau kiri dan di kening.

Seterusnya masalah penglihatan juga boleh menyebabkan sakit kepala. Hal ini kerana ketegangan pada otot-otot mata untuk menjelaskan penglihatan yang mengalami rabun jauh biasanya menimbulkan sakit kepala. Kepala akan berasa sakit dan penglihatan menjadi kurang jelas apabila membaca buku, menonton televisyen atau memandang apa-apa sahaja tulisan. Seseorang yang mengalami situasi ini perlulah berjumpa dengan doktor mata. Pemakaian kaca mata setelah melalui pemeriksaan ketajaman penglihatan yang dikelolakan oleh ahli optometri biasanya dapat mengatasi masalah yang dialami.

Selain daripada faktor psikologi, migrain dan masalah penglihatan, sakit kepala juga boleh disebabkan oleh alergi terhadap makanan, jangkitan (beguk, sakit telinga seperti otitis media, sakit gigi, sakit tekak, batuk kokol, dan meningitis), faktor lingkungan (bilik tanpa peredaran udara yang baik), cuaca matahari, sawan, dadah, kecederaan di kepala ketumbuhan di kepala, dan tekanan darah tinggi sekunder boleh menyebabkan sakit kepala.

Cc: Baharudin Omar. 1997. Asas Penjagaan Kesihatan Kanak-kanak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka            

       Ubatsakit2011.blogspot.com

KASTRI YANTI BINTI AHMAD DIAH
BC13110052

No comments:

Post a Comment