Adakah anda tergolong dalam kumpulan manusia yang sukar memberi fokus terhadap suatu perkara? Jangan risau, hanya dengan meluangkan sedikit masa untuk membaca ruangan ini akan menyelesaikan masalah anda dengan mudah tanpa memerlukan modal yang banyak.
Sebuah kajian saintis psikologi daripada Universiti Hiroshima di Jepun telah membuktikan bahawa hanya dengan menatap imej-imej yang comel termasuklah gambarajah anak anjing dan anak kucing mampu memberikan kesan yang ketara terhadap peningkatan tumpuan dan konsentrasi manusia.
Ini telah dikaji oleh Hiroshi Nittono yang telah mengetuai sebuah kumpulan yang menjalankan tiga buah eksperimen ke atas seramai 132 pelajar universiti di mana mereka menyimpulkan bahawa imej yang comel berupaya untuk melancarkan keupayaan konsentrasi serta ketelitian yang tinggi di kalangan pelajar.
Kajian ini menunjukkan bahawa dengan menatap imej-imej yang comel mampu meningkatkan keupayaan manusia dalam melakukan tugasan yang memerlukan tingkah laku yang berjaga-jaga dengan mengecilkan keluasan tumpuan fokus seperti yang telah ditulis oleh Nittono dan rakan-rakan sekerjanya.
Pada kajian yang telah dilakukan sebelum ini juga telah menunjukkan bahawa manusia sememangnya bertindak balas terhadap sesuatu yang kelihatan comel - kepala besar, dahi yang luas menonjol, mata yang besar - dikenali sebagai skema bayi. Haiwan-haiwan yang masih kecil mempunyai karakter skema bayi dan ini menjelaskan mengapa kita melihat anak anjing dan anak kucing lebih comel daripada anjing dan kucing dewasa.
Skema bayi ini boleh mengaktifkan sejumlah besar proses semula jadi dalam diri manusia termasuklah boleh tersenyum sendiri serta mampu merangsang tingkah laku yang positif, kajian juga menunjukkan bahawa imej-imej yang comel juga mampu memberi impak terhadap perhatian dan persepsi seseorang terhadap suatu perkara.
Dalam eksperimen pertama yang dijalankan oleh kumpulan Nittono, sekumpulan pelajar kolej yang terdiri daripada 48 orang diminta untuk bermain dalam satu situasi seakan-akan seperti berada dalam situasi pembedahan. Mereka diminta untuk mengeluarkan bahagian tubuh manusia yang diperbuat daripada plastik yang kecil dengan menggunakan pinset tanpa tersentuh mana-mana permukaan lubang kecil si 'pesakit'. Selepas bermain dalam pusingan yang pertama, separuh daripada pelajar-pelajar itu diminta untuk melihat siri-siri imej yang terdiri daripada anak anjing dan juga anak kucing yang comel manakala selebihnya diminta untuk melihat imej-imej anjing dan kucing dewasa.
Para pelajar yang melihat foto-foto anak-anak binatang yang comel menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara pada pusingan permainan yang kedua dengan kebolehan melakukan tugas dengan lebih perlahan dan lebih teliti selepas melihat foto-foto tersebut. Para pelajar yang melihat gambar haiwan yang lebih dewasa pula menunjukkan tiada perubahan pada prestasi mereka dan mereka menyiapkan tugas pada sejumlah masa yang sama pada kedua-dua pusingan.
Dapatan kajian sebentar tadi menunjukkan dengan menatap imej yang comel mampu membuatkan para peserta untuk bertindak lebih bersahaja dan mampu melakukan tugasan dengan penggunaan masa dan penjagaan yang lebih baik.
Kajian turut membuktikan bahawa imej yang comel mampu meningkatkan tumpuan pada detail-detail secara lebih spesifik. Dalam eksperimen ini, para pelajar diminta untuk mengenal pasti siri stimulus yang dimainkan dalam skrin dengan masa yang direkodkan. Setiap stimulus menggunakan kumpulan huruf yang lebih besar dan kumpulan huruf berlainan yang bersaiz lebih kecil. Sebagai contoh, mereka mungkin melihat kepada siri huruf-huruf F yang lebih kecil dalam sebuah kumpulan huruf H yang lebih besar.
Setiap tugasan itu diselang-selikan dengan paparan imej yang terdiri daripada anak-anak haiwan, haiwan dewasa atau objek neutral. Selepas melihat imej yang comel, para pelajar ternyata lebih cepat dalam memproses maklumat yang terdiri daripada huruf-huruf kecil berbanding huruf-huruf yang lebih besar.
Hasil kajian jelas menunjukkan imej-imej comel sangat membantu dalam mengalihkan perhatian kita kepada fokus yang lebih baik pada detail.
Sebagai permulaan, lihatlah contoh-contoh gambar yang comel yang telah disertakan di bawah. Semoga fokus dan konsentrasi para pembaca menjadi lebih baik selepas mengamalkan tips ini. Selamat mencuba!






No comments:
Post a Comment